Rindu . . ya , aku rindu
tapi maaf , rindu ini bukan pada pemilik jasad jiwa , rindu ini pada jiwa kehijauan
kehijauan yang bagai satu lambang , satu lambakan ketenangan
rindu ini pada suara ulikan hati , ulikan nyawa jiwa...
Rindu yang tak ingin ditinggal kerinduan , pabila makhluk yang tiada perasaan mula buangkan pedoman
alam hijau yang banyak menyumbang , di hati perosak alam kini terus terbuang
bukan tak sedar bukan tiada perikemanusiaan , tapi hati telah dirasuk kekaguman fasik harta
pandangan dikaburi haruman nota kertas yang bernilai
jiwa gelap , hitam hati... sedar tp membiarkan akal mati tersadar.
Indah nyanyian alam sudah tenggelam di dalam kelam
sahutan penghuni rimba berubah seolah menjadi tanda ketakutan tiada kegembiraan
cuba hayati lalu fahami ,itu kesedihan bahkan amaran pada insan
insan tak berperasaan , si gila mata duitan
Batang kayu berdaun yang dahulunya tegak gagah berdiri kini telah banyak tumbang
tanah berjasa yang dahulunya bagai permaidani dunia telah tinggal sisa - sisa
hilang , sudah pergi penghormatan itu dek kerana satu pandangan
pandangan yang dipenuhi hasutan si buruk peribadi jadian.
Terlihat keratan cacat di bahu hutan yang tergadai , tangisan sungai yang dicemari teman buangan
bukan lagi salah hidupan rimba jika manusia diganggu , tahukah kamu mereka dibelenggu
bukan tanah yang harus dituduh tatkala kecoh diri ditimbus , apakah itu kehendak alam
ibarat tulang kaki yang patah , masihkah mampu berdiri
alam ini perlukan sokongan , bukan hanya menyumbang pada insan yang lupa akan erti perhatian.
Si durjana perosak alam bangga dengan blok - blok batu yang mereka dirikan di kota
tergadai terbiar dalam sengara , alam terus menjadi mangsa
sampai bila , mahukah semuanya lenyap tanpa tinggalan
apakah mahu generasi mendatang bertanya apa itu erti semulajadi dan rupa hidupan
mahukah berbohong binatang berasal dari kandang besi , tiada habitat malah lahir untuk menjadi tontonan.
Ah , amarah hati tak guna diselindung
alam terlalu banyak bersabar , terus bersabar tapi jangan salahkan ia bila bumi bergetar
bila semua sudah tiada , jangan kau pula ternganga
jangan menyesal andai keindahan alam pergi , jangan kau terkial.
Ayuh , peliharalah sesuatu yang asalnya amat berjasa pada kehidupan kita
tak salah mencari harta , namun jangan sampai kita menjadi buta kerananya
bukan hanya kita bernyawa , malah seluruh alam juga ada jiwa dan nyawa , bahkan dari situ kita mengenal dunia
cintailah mereka kerana ia ada untuk kita , jangan lupa.